Salam sejahtera, Saya Mosses PA Ampang ingin membuat kenyataan rasmi berhubung dengan kenyataan Ketua Polis malaysia, Tan Sri Razarudin Husain pada hari ini yang bertarikh 24 September 2024.

Setelah meniliti video rakaman kenyataan Ketua Polis Malaysia, saya mendapati wujud dua kes yang berbeza.

Kes Pertama adalah memfokuskan kepada seorang individu yang memiliki akaun tiktok dengan nama Bentanalamin29.

Kes Kedua adalah memfokuskan kepada diri saya dengan NGO Republic of Sabah North Borneo - RSNB.

Melalui kenyataan Ketua Polis Malaysia, beberapa persoalan ditimbulkan iaitu apakah motif tindakan menurunkan bendera malaysia dan digantikan dengan bendera Sabah dan Sarawak di Parlimen Victoria, Australia. Dan Apakah hubungan saya dan NGO RSNB dengan pemilik akaun tiktok yang bernama Bentalamin29.

Ingin saya memberikan penjelasan bahawa upacara menurunkan bendera malaysia dengan hormat dihadapan bangunan parlimen Victoria, Australia dengan digantikan bendera Kebangsaan Negara Sabah dan Negara Sarawak adalah sebagai satu tanda simbolik menurunkan penjajahan malaya yang kini dikenali sebagai malaysia sejak 16 September 1963.

Pihak kami telah memahami sejarah sebenar melalui rekod dokumen kolonial British yang telah diperolehi dari Arkib London, yang telah dikongsikan secara umum didalam beberapa Page yang memperjuangkan kemerdekaan iaitu Page Facebook saya iaitu Mosses PA Ampang, Sabah Sarawak Rights Australia New Zealand (SSRANZ), Republic of Sabah North Borneo - RSNB, Sabah Sarawak Keluar Malaysia - SSKM.

Dokumen-dokumen ini telah merekodkan keadaan yang sebenar tentang apa yang telah berlaku sebelum kewujudan malaysia. Ia merupakan komunikasi rahsia diantara Kerajaan British dan kerajaan malaya.

Melalui penelitian yang tekun selama 10 tahun sejak 2013, pihak kami dengan yakin percaya bahawa malaysia merupakan satu penjajahan bagi mengambilalih tanah-tanah jajahan British di Borneo iaitu Negara Borneo Utara dan Negara Sarawak oleh malaya.

Kesemua naratif ataupun penceritaan sejarah yang digunakan selama ini kononnya sebuah negara baru dibentuk pada 16 September 1963 adalah satu pembohongan dan penyesatan sejarah selama 61 tahun.

Ini kerana tidak ada negara baru yang pernah didaftarkan di United Nations pada 16 September 1963 sebaliknya hanyalah satu makluman kepada Setiausaha United Nations bahawa malaya menukar namanya kepada malaysia dengan kemasukan tiga wilayah baru iaitu Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam malaya, yang mengekalkan identiti yang merdeka pada 31 Ogos 1957.

Pihak kami juga yakin dengan pasti setelah membuat rujukan perundangan antarabangsa tentang perjanjian malaysia yang ditandatangani pada 9 Julai 1963. Hasil dapatan mendapati bahawa perjanjian malaysia 1963 adalah sebuah perjanjian yang tidak sah dan terbatal kerana ia dilakukan pada saat kepimpinan North Borneo ataupun kini dikenali sebagai Sabah, Sarawak dan Singapore tidak memiliki status yang sah untuk menandatangani perjanjian antarabangsa. 

Kenyataan ini dapat disokong melalui kes mahkamah antarabangsa mengenai Pulau Chagos yang menyaksikan kemenangan kepada Kerajaan Mauritius, yang mana pulau Diego Garcia milik Kerajaan Mauritius telah dipisahkan daripada pentadbiran kerajaannya sebagai syarat untuk Kerajaan Mauritius dimerdekakan daripada penjajahan British.

Mahkamah antarabangsa telah mendapati dan menyimpulkan bahawa kerajaan mauritius yang berstatuskan tanah jajahan British tidak memiliki kapasiti untuk menandatangani perjanjian antarabangsa dengan British yang merupakan penjajah kepada Kerajaan mauritius. 

Dalam konteks perjanjian malaysia 1963, ketika tandatangan perjanjian malaysia itu dilakukan di London, North Borneo dan Sarawak belum memiliki Kerajaan Demokrasi yang sah, belum memiliki kepimpinan yang dipilih melalui sistem demokrasi pilihanraya. Belum memiliki Dewan Undangan Negara Sabah ataupun Parlimen, belum memiliki 3 doktrin kuasa demokrasi iaitu kuasa legislatif, judisiari dan eksekutif. Mereka hadir bukan atas kapasiti Ketua Menteri ataupun Perdana Menteri North Borneo dan Sarawak.

Kehadiran kepimpinan Borneo pada upacara menandantangani perjanjian malaysia pada 9 julai adalah kerana dipilih ataupun handpicked by British sebagai satu persembahan  sahaja bagi mengaburi mata dan meredakan tekanan politik masyarakat antarabangsa seperti mana yang diakui oleh Ketua Peguam Kerajaan British Sarawak.

Dokumen perjanjian malaysia 1963 merupakan dokumen penyerahan kuasa kedaulatan dan kuasa kemerdekaan Bangsa North Borneo atau kini Sabah dan Sarawak kepada malaya.

Dalam erti kata lain, malaya hanya menggantikan kedudukan British sebagai penjajah.

Maka, dalam konteks naratif ataupun penceritaan sejarah berfakta ini, ia jelas terang dan bersuluh bahawa tarikh 16 September 1963 sebenarnya bukanlah sebuah pembentukan negara baru sebaliknya merupakan hari bermulanya penjajahan malaya yang menukar namanya kepada malaysia secara rasmi.

Dengan kefahaman naratif sejarah yang berfakta ini, maka kempen kesedaran untuk memerdekakan Bangsa Negara Sabah dan Negara Sarawak daripada penjajahan malaya adalah bukan satu pilihan sebaliknya adalah satu tanggungjawab yang mesti dipikul oleh Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak.

Dengan itu, upacara menurunkan bendera malaya yang kini dikenali sebagai malaysia merupakan satu simbolik menurunkan penjajahan malaya dengan menggantikan bendera Kebangsaan Negara Sabah dan Negara Sarawak, adalah satu tindakan yang wajar dilakukan setiap tahun bermula pada tahun ini sehingga kedua-dua negara Borneo ini mencapai kemerdekaan sebenar secara demokrasi dalam tempoh 10 tahun yang diberikan dari sekarang.

Mengenai hubungan diri saya dan NGO RSNB dengan pemilik akaun tiktok yang bernama bentalamin29, ingin saya maklumkan bahawa saya tidak mengenali individu ini dan tidak pernah berhubung mahupun mempunyai sebarang kerjasama dengannya. Walau bagaimanapun, sebagai Sabahan, saya mohon agar beliau diberikan kebebasan bersuara seperti mana yang termaktub didalam perlembagaan yang memberikan jaminan bersuara kepada rakyat. Tindakan menyekat, mengancam, mengugut suara demokrasi khususnya suara kemerdekaan ini hanya akan mengeruhkan keadaan dan keamanan.

Saya berharap penjelasan ini dapat memberikan pencerahan yang jelas kepada semua pihak.

Harap maklum.

Mosses PA Ampang

President,

Republic of Sabah North Borneo - RSNB NGO

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.