Benarkah saya mahu menjadikan anda (Rakyat Negara Sabah dan Rakyat Negara Sarawak) sebagai perisai dan jikalau ada apa-apa yang buruk terjadi, saya akan bersembunyi?

Untuk menjawab komen ini, izinkan saya berkongsikan sejarah perjalanan penglibatan saya didalam dunia perjuangan rakyat.

2008

Saya telah mula terlibat didalam perjuangan rakyat atas kesedaran ketika saya masih lagi menuntut di sebuah Universiti tempatan di Malaya. Pada tahun tersebut, adalah tahun pilihan raya umum kali ke-12. Sebagai seorang mahasiswa pada ketika itu, berlaku kebangkitan anak-anak muda di semua Universiti awam yang menyahut seruan Pakatan Rakyat (PR) untuk membuat reformasi politik 'malaysia'. Apa yang membuatkan kebangkitan secara penuh dikalangan pelajar-pelajar Universiti pada ketika itu adalah kerana 'janji manefesto PR' yang menjanjikan bahawa 'PTPTN' akan dihapuskan jikalau PR memenangi PRU-12. 

Saya telah menyertai kebangkitan mahasiswa yang mahukan pentadbiran lama direformasikan dibawah pentadbiran PR melalui sebuah Kelab yang ditubuhkan diluar negara dan Kelab tersebut dipanggil Anwar Ibrahim Club (AIC). Walaupun saya tidak berkesempatan untuk mengikuti perhimpunan mahasiswa pada tahun tersebut, saya aktif berkempen melalui Forum Online dan juga blog. Dan selain itu, saya aktif melakukan kempen secara bersembunyi dikalangan pelajar didalam Universiti agar memberikan sokongan kepada PR. Semasa keputusan PRU-12 diumumkan, semua rakan-rakan ‘memekik dan memaki’ Sabahan dan Sarawakian.

Kenapa? 

Kerana Sabah dan Sarawak, BN terus memerintah manakala 5 buah negeri di Malaya telah jatuh ditangan PR. Kesan daripada PRU-12 itu, saya telah dibuang Universiti kerana telah gagal didalam peperiksaan. Saya hilang fokus kerana masa saya telah digunakan untuk berkempen politik. Meskipun CGPA (Pointer) saya masih layak untuk terus berada di Universiti, saya tetap dibuang manakala rakan-rakan yang rendah CGPA, yang sememangnya layak dibuang, dapat meneruskan pengajian mereka kerana tidak terlibat didalam aktiviti kebangkitan pelajar. Kesan daripada pembuangan daripada Universiti, saya hampir memilih untuk menamatkan hidup kerana kekecewaan yang teramat sekali dan malu untuk berdepan dengan orang tua serta saudara-mara namun atas keimanan dan sokongan orang yang terdekat, saya berjaya mengubah pemikiran itu untuk memulakan perjalanan hidup baru.

2009-2012

Saya telah mendapat peluang baru untuk meneruskan pengajian yang berbeza. Pada tahun inilah juga saya telah secara tidak langsung mengenali sebuah kumpulan sosial didalam Facebook dan kumpulan itu dipanggil Sabah Sarawak Keluar Malaysia - SSKM. Pada waktu itu, keahlian SSKM hanyalah sekitar 300 orang dan saya telah mula mengenali Doris Jones (DJ) dan beberapa ahli-ahli lama. Setiap hari, banyak perkara baru yang dipelajari didalam kumpulan ini melalui pendedahan bahan-bahan bersejarah dan berbukti yang dilakukan berbentuk perbincangan dan perkongsian, telah menarik minat saya untuk melibatkan diri secara aktif didalam kumpulan ini.

Ketika SSKM ditubuhkan didalam Facebook, Internal Security Act (ISA) masih lagi wujud. Walaupun perasaan takut itu ada dikalangan ahli-ahli kumpulan (termasuk saya) namun semua tetap meneruskan perbincangan yang dikategorikan sebagai 'sangat sensitif' iaitu perbincangan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Keberanian demi keberanian ini dibuktikan melalui kesanggupan untuk mewujudkan perjumpaan diluar alam maya Facebook dan ia panggil 'Lepak-Lepak SSKM'. Saya dengan beberapa rakan-rakan didalam kumpulan SSKM telah berjaya mengadakan perjumpaan Pertama yang sangat bersejarah ini secara bersemuka di Suria KLCC Park. Selepas itu, saya juga telah melakukan perkara yang sama iaitu melakukan perjumpaan bersejarah yang Pertama, Lepak-Lepak SSKM di Kota Kinabalu. Kejayaan ini telah memberikan saya kekuatan untuk berdiri diatas ketakutan yang selama ini menyelubungi diri saya sebagai Sabahan.

Saya juga telah menyertai Bersih 2.0 di Malaya yang mana pada waktu itulah baru saya tahu bahawa Garam dan Air adalah sangat penting sebagai penawar kepada Gas Pemedih Mata. Saya menyertai Bersih 2.0 kerana saya teringin untuk mengetahui tentang mengapakah orang-orang Malaya ingin melakukan demonstrasi awam dan apakah 'kekuatan, keberanian, faktor-faktor serta justifikasi' disebalik tindakan mereka ini. Ya, saya telah mendapat kesemua jawapannya selepas berakhirnya demonstrasi itu.

Sekali lagi, saya telah menyertai Bersih 3.0. Pada Demonstrasi kali ini, saya hampir kehilangan nyawa kerana tersepit ditengah-tengah perhimpuan yang dihadiri oleh puluhan ribu rakyat Malaya selepas FRU melepaskan beberapa das tembakan yang disengajakan. Semua orang masing-masing cuba untuk menyelamatkan diri. Harapan saya untuk berada ditengah-tengah perhimpunan ramai agar lebih selamat, rupa-rupanya tindakan itu telah hampir meragut nyawa saya kerana tidak dapat bergerak. Dalam keadaan demonstrasi aman yang bertukar menjadi ribut telah menyukarkan saya untuk menyelamatkan diri dan terpaksa menyedut asap gas pemedih mata yang begitu pekat sekali. Didalam fikiran saya pada waktu itu, adakah ini jalan cerita pengakhiran hidup saya?

Kedua-dua peristiwa ini iaitu Bersih 2.0 dan 3.0 telah memberikan saya mesej yang sungguh jelas sekali iaitu, sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, kita mesti berani untuk memperjuangkan hak kita. Walau apa jua aral yang melintang, KEADILAN MESTI DIANGKAT DAN DIJULANGKAN SETINGGI-TINGGINYA MESKI DIANCAM MAHUPUN DIUGUT! Orang Malaya berani melakukan demonstrasi kerana itu adalah untuk memperjuangkan hak mereka. Ketakutan itu dipijak-pijak sepenuh hati mereka sehingga hanya keberanian sahaja yang menguasai diri mereka. Walau apa jua yang berlaku, tindakan itu adalah untuk kepentingan masa depan generasi mereka!

Pada 31 Julai 2012, saya bersama-sama dengan rakan-rakan SSKM telah menyambut kedatangan Doris Jones (DJ) di KLIA. Walaupun ketakutan wujud pada ketika itu kerana berisiko untuk ditangkap dibawah ISA, tetapi keterujahan (excitement) untuk berjumpa dengan beliau berjaya menenggelamkan segala-galanya. Sepanjang keberadaan Doris Jones di Malaya, saya telah memberikan beliau idea untuk membuat rakaman video bagi menyampaikan mesej beliau tentang kewajaran untuk Sabah dan Sarawak berpisah daripada Malaysia dan berjuang untuk mencapai Kemerdekaannya. Idea itu diterima, rakaman dilakukan dan ia disiarkan didalam youtube yang telah menjadi viral selepas kepulangannya ke UK.

Sebelum itu, beliau telah melakukan lawatan ke Sarawak dan Sabah. Ketika beliau berada di Sabah, saya telah melakukan inisiatif untuk melakukan pertemuan diantara DJ dan Datuk Dr.Jeffrey G.Kitingan (DDJK). Pertemuan itu berjaya dilakukan di Labuan. Melalui pertemuan julang kali itu, segala fitnah dan salahfaham yang selama ini disebarkan didalam media massa tentang DDJK telah dicerahkan sendiri oleh DDJK. Bermula pada detik yang bersejarah ini, wujud persefahaman kerjasama secara tidak langsung. DDJK memenangi kerusi DUN Bingkor.

2013-2015

Pada bulan Mac 2013, saya telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah Kesatuan Pelajar Borneo dan atas perbincangan demi perbincangan dikalangan rakan-rakan seperjuangan, Kesatuan itu berjaya ditubuhkan dibawah naungan Borneo Heritage Foundation (BHF) dengan nama Kesatuan dalam pergerakan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), United Varsity Students of Borneo (UVSB). UVSB menjadi platform untuk pelajar-pelajar kolej dan universiti di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak untuk melibatkan diri didalam dunia politik secara tidak langsung mengikut kemampuan masing-masing. Aktiviti-aktiviti yang dirancang adalah bersesuaian dengan masa dan kelapangan pelajar-pelajar kolej dan universiti. Aktiviti yang termudah dilakukan adalah melalui bentuk penulisan yang diterbitkan didalam blog. Ia semuanya adalah artikel kebangkitan kesedaran rakyat Sabah dan Sarawak.

Pada 22 Julai 2013, saya telah membawa UVSB untuk menyertai acara Kemerdekaan Sarawak yang julung kali diadakan di Telung Usan. Sejak itu, acara Kemerdekaan Sarawak telah berlangsung setiap tahun sehingga kini.

Pada 31 Ogos 2013, saya juga telah membawa UVSB untuk menyertai acara Kemerdekaan Sabah yang julung kali diadakan di Kota Kinabalu setelah acara ini ditenggelamkan untuk sekian lama. Sejak itu, acara Kemerdekaan Sabah telah berlangsung setiap tahun sehingga kini.

Pada 16 September 2013, saya telah diberikan tanggungjawab untuk memaklumkan kepada Ibu Pejabat Polis Karamunsing untuk mengadakan satu Demonstrasi Aman bersebelahan dengan Makhamah Tinggi Kota Kinabalu. Saya telah membawa UVSB untuk bersama-sama menyertai Demonstrasi Aman yang dipanggil '916 Occupation Day' . Disebalik demonstrasi itu, beberapa trak polis sedang ber'parking' berdekatan dengan kawasan itu dan lebih daripada 30 anggota polis sedang berkawal dikawasan tersebut. Seorang anggota polis telah menghampiri saya dan memberikan nasihat (amaran) untuk tidak membuka poster yang sudah tersedia dengan mesejnya.

Pada 14 April 2014, saya telah membawa UVSB untuk menyertai Demonstrasi Aman dihadapan Pintu Pagar Utama Dewan Undangan Negeri Sabah dengan objektif untuk menggesa Kerajaan Sabah untuk bertindak tegas mendapatkan hak seperti apa yang telah terkandung didalam Perjanjian Malaysia 1963.

Pada 31 Ogos 2014, saya telah membawa UVSB untuk menyertai program sambutan Hari Kemerdekaan Sabah di Tg.Aru sebagai program kewajiban.

Selang seminggu selepas program Kemerdekaan itu (September 2014), Kerajaan Malaysia secara rasminya telah mengistiharkan SSKM sebagai Kumpulan Pengganas, Penghasut, Pengkhianat dan bermacam-macam lagi label dan dakwaan yang liar serta jahat ditembak kepada SSKM. Selaku salah seorang daripada Pentadbir (Admin) didalam kumpulan SSKM pada waktu itu, kesemua kami telah menjadi panik, kebingungan dan diselubungi dengan ketakutan yang sungguh teramat sekali. Didalam fikiran kami, bila-bila masa sahaja akan ditangkap. Atas inisiatif diri, saya telah menasihati Doris Jones untuk membuat kenyataan rasmi bagi menyangkal segala tuduhan dan dakwaan liar pihak Kerajaan Malaysia. Saya meminta beliau untuk memberikan saya isi-isi penting (important points) yang perlu dimasukkan kedalam kenyataan rasmi beliau dan selebihnya dihuraikan oleh saya dengan penyampaian yang padat. Pengesahan dilakukan oleh Doris Jones sebelum kenyataannya disiarkan kepada umum.

Namun, syukur kerana sebelum kejadian tersebut, saya telah sempat mewujudkan Page Facebook Sabah Sarawak Keluar Malaysia - SSKM dengan tujuan untuk menjadikan Page Facebook tersebut sebagai medium Penyebaran Kesedaran dan Kebenaran terbuka kepada warga Facebook Sabahan, Sarawakian dan Malayan. Selain itu, blog SSKM juga telah diwujudkan (blog diwujudkan hasil kerjasama dengan rakan seperjuangan). Dengan itu, SSKM memiliki Group dan Page Facebook serta blog untuk menjalankan tanggungjawab dan peranan yang tersendiri. Online Petition diwujudkan oleh rakan seperjuangan untuk tujuan membawa petisyen ke perhatian pihak antarabangsa.

Melalui kewujudan Page Facebook dan blog SSKM, ia berjaya menyangkal segala tuduhan jahat dan liar pihak Kerajaan Malaysia. Tembakan yang dikenakan keatas perjuangan SSKM yang pada waktu itu sudah bergerak dibawah NGO yang berdaftar di United Kingdom of Great Britain and Northen Ireland (UK) dengan nama Sabah Sarawak Union (SSU) telah berjaya menangkis sehingga meraih sokongan rakyat Sabah dan Sarawak.

Keadaan menjadi sangat genting pada waktu itu kerana siang dan malam berita telah disajikan dengan isu SSKM. Kesannya, rakyat Sabah dan rakyat Sarawak telah mula mengenali SSKM secara rasmi dan tindakan Kerajaan Malaysia itu dilihat sebagai satu Pengiktirafan yang sangat-sangat dihargai kerana ia merupakan publisiti percuma hampir beberapa bulan.

Doris Jones pada waktu itu bersetuju untuk mewakili SSKM sebagai Individu yang bertanggungjawab keatas perjuangan ini manakala pihak Pentadbir (Admin) yang lain bersetuju untuk memberikan sokongan dibelakang tadbir dalam aspek pengurusan Group dan Page Facebook serta blog SSKM setiap hari.

Hampir setiap malam Doris Jones berhubung dengan Pentadbir-pentadbir Group Facebook SSKM bagi memberikan sokongan moral dan panduan untuk berhadapan dengan situasi itu.

Kesan daripada tindakan Kerajaan ini, rakyat Sabah pada waktu itu telah tampil menawarkan diri untuk turut serta didalam perjuangan SSKM yang bergerak dibawah SSU-UK. Kumpulan demi kumpulan wujud secara sukarela di seluruh Sabah, Sarawak dan Malaya untuk mengumpul tandatangan bagi Petisyen Online.

Saya bertanggungjawab mengemaskini maklumat didalam Page Facebook SSKM sepanjang waktu SSKM sangat 'Panas'. Insiden penahan 9 Sukarelawn yang ditangkap di Tuaran menjadi Perhatian serius. 9 Sukarelawan ditangkap itu dibawakan ke Balai Polis Tuaran. Daripada 9 orang yang ditangkap, 4 orang dikenakan tuduhan. Beberapa pemimpin-pemimpin Sabah telah datang memberikan sokongan moral dan mengenakan tekanan undang-undang kepada pihak Polis agar membebaskan para Sukarelawan yang ditahan. Datuk Yong Teck Lee telah memainkan peranan yang sangat penting pada waktu itu. Kes ini dipanggil Tuaran 4.

Selang seminggu selepas kejadian Tuaran 4, penahanan sukarelawan telah berlaku lagi dan kini insiden itu berlaku di Lahad Datu yang mana pada kali ini telah menyaksikan 5 orang sukarelawan ditahan. Sekali lagi Datuk Yong Teck Lee telah memainkan peranannya setelah Doris Jones menghubungi beliau untuk memohon bantuan. Beberapa pemimpin Sabahan juga telah datang untuk memberikan sokongan dan antaranya ialah Datuk 'Merican' (jikalau tidak silap saya) dan juga Datuk James Ligunjang. Diakhir pembebasan sukarelawan di Lahad Datu 5 (LD 5) itu, saya telah bersama-sama menyambut mereka dengan rakan-rakan sukarelawan yang lain di luar pintu pagar Ibu Pejabat Balai Polis Lahad Datu.

Sepanjang kejadian Tuaran 4 dan LD 5, saya sentiasa menyampaikan informasi terkini didalam Page Facebook SSKM agar rakyat Sabah khasnya dapat mengikuti perkembangan ini.

Sehingga satu masa, saya telah didatangani oleh seorang lelaki yang berpakaian kemas, berambut pendek. Individu itu memperkenalkan dirinya sebagai 'Special Branch Police (SB)'. Saya telah diberikan amaran dan ancaman tangkapan jikalau aktiviti ini masih diteruskan. Namun saya tetap meneruskannya. Kali kedua saya telah didatangani SB dengan mesej 'jikalau aktiviti ini masih diteruskan, diri dan keluarga akan berada didalam bahaya'.

Laporan polis tidak dilakukan pada dua kejadian ugutan dan ancaman nyawa itu kerana ketakutan menyelubungi diri. Pemikiran pada waktu itu menyakinkan saya bahawa keadaan akan bertambah parah lagi jikalau aduan polis dibuat kerana ancaman itu sendiri daripada pihak polis. Jikalau tangkapan berlaku keatas diri ini, saya tidak akan mampu untuk berjuang untuk kesedaran dan kebangkitan rakyat Sabah dan rakyat Sarawak. Saya juga telah memaklumkan keadaan ini kepada Doris Jones tentang keberangkalian saya akan ditangkap.

Atas segala pertimbangan faktor-faktor keselamatan diri, keluarga dan perjuangan, ia telah menjustifikasikan saya untuk mendapatkan perlindungan di Australia.

2016-2019

Keberadaan saya di Australia tidak menghentikan perjuangan ini sebaliknya, saya telah menghubungi En.Robert Pei. Pertemuan demi pertemuan telah memberikan saya kefahaman tentang halatuju perjuangan sebenar.

Saya juga telah menghubungi seorang sukarelawan SSU-UK iaitu Cik Elvera Edward dan beberapa pertemuan dilakukan untuk membincangkan hal-hal perjuangan Sabah dan Sarawak.

Setelah beberapa bulan, saya telah membawa dan memperkenalkan Cik Elvera Edward kepada En.Robert Pei dan hasil daripada beberapa pertemuan, akhirnya kami bertiga bersetuju untuk menubuhkan sebuah NGO didaftarkan dengan nama Sabah Sarawak Rights - Australia & New Zealand (SSRANZ).

Dibawah NGO SSRANZ, kami telah melibatkan diri didalam program anjuran Forum Awam Bersih Australia.

Forum Pertama SSRANZ telah berjaya diadakan pada 2017 dan Forum Kedua SSRANZ pula telah menyaksikan kejayaan pada 22 Oktober 2019.

Melalui perkongsian ini, adakah benar saya telah menjadikan rakyat Sabah sebagai perisai sementara itu saya bersembunyi?

Keberadaan saya di Australia sebenarnya bukan atas sebab untuk bersembunyi tetapi sebaliknya adalah untuk mengelak daripada perjuangan ini terkubur atau dikuburkan.

Adakah melalui penglibatan saya selama ini tidak memberikan impak keatas kesedaran dan kebangkitan rakyat Sabah dan Sarawak, yang seterusnya telah mampu mengoyangkan Kerajaan Malaysia? Pengaruh Malaya melalui umno-bn di Sabah telah terkubur kerana kesedaran yang disebarkan melalui kebangkitan untuk memiliki Parti-parti Tempatan Sabah, dilakukan secara konsisten melalui Group dan Page Facebook serta blog SSKM/SSU-UK.

Adakah benar dakwaan anda yang mengatakan bahawa saya 'hanya berani di Facebook sahaja?'

Saya tidak berniat untuk 'menunjuk-nunjuk' tentang apa yang telah dilakukan selama ini. Walau bagaimanapun, perkongsian ikhlas ini dilakukan kerana wujud keperluan untuk memberikan kefahaman serta mencerahkan tanggapan yang tidak benar tentang usaha serta tindakan yang dilakukan oleh saya pada masa kini.

Rentetan daripada kisah perjalanan hidup saya setakat ini adalah selari dengan janji yang pernah dilafazkan oleh saya selama ini iaitu 'Saya akan mengoncangkan politik Negara Sabah sekuat-kuat hati saya sehingga Negara Sabah mencapai KEMERDEKAAN! Kini, saya sedang melakukannya sekarang!'


***Saya ingin memaklumkan bahawa banyak info-info lanjut tidak dapat diselitkan didalam perkongsian saya ini. Walau bagaimanapun, mana-mana pihak boleh menyelitkan penglibatan diri masing-masing melalui ruangan komen dibawah sebagai rujukan bersama. Perkongsian ini juga adalah untuk memfokuskan kepada perjalanan perjuangan saya dan ia tidak sesekali berniat untuk membelakangkan mana-mana pihak yang pernah turut terlibat didalam perjuangan rakyat ini. Garis Masa (Timeline) yang lebih spesifik akan dilakukan nanti untuk merekodkan penglibatan semua pihak yang mampu mengiktiraf sumbangan yang telah membawa kepada perubahan kesedaran dan kebangkitan Nasionalisme, yang seterusnya telah membawa kepada kebangkitan politik Negara Sabah.

Saya telah bersama-sama berjuang di Tanah Air sejak 2008 lagi. Saya berjuang di malaya, Negara Sarawak dan juga Negara Sabah. Kini, saya berjuang diperingkat antarabangsa. Tidak pernah terlintas didalam fikiran saya untuk menjadikan diri anda dan Sabahan yang lain sebagai perisai. Saya berasa pemikiran sebegitu sungguh ‘HINA’ sekali. Apakah anda tidak melihat bahawa tindakan kami memberikan tekanan politik kepada kerajaan malaya akan memberikan manfaat kepada rakyat Negara Sabah dalam jangka masa yang panjang? Jikalau anda risau diri anda terancam kerana takut, saya faham kerana saya juga telah melalui duka lara itu. Anda boleh memilih untuk terus berdiam, selamat menjalani kehidupan harian selamanya sebagai individu yang terjajah secara mental. Hidup anda akan aman sehingga menghembus nafas yang terakhir kerana usia yang tua, sakit atau apa-apa yang memungkinkan kecelakaan yang berlaku tanpa diduga.

Saya memilih untuk bersuara, berdiri diatas ketakutan yang selama ini menjajah kotak pemikiran saya atas sebab ketakutan yang diserapkan oleh kerajaan malaysia yang akan menindas suara keadilan Bangsa. 

Justeru, SEGALA KESENGSARAAN DAN PENINDASAAN DIDALAM ASPEK SOSIAL, EKONOMI DAN POLITIK SEPANJANG BANGSA NEGARA SABAH DAN BANGSA NEGARA SARAWAK BERADA DIBAWAH KUASA PENJAJAHAN MALAYA YANG KINI DIKENALI SEBAGAI MALAYSIA ITU MESTI DINOKTAHKAN SEPENUHNYA!

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak memberikan anda pencerahan dan suntikan semangat untuk bersama-sama BANGKIT DEMI KEDAULATAN DAN KEMERDEKAAN BANGSA NEGARA SABAH DAN BANGSA NEGARA SARAWAK! ***


Source: https://www.facebook.com/notes/382991692707626/

Labels:

Post a Comment

Contact Form

Name

Email *

Message *

Powered by Blogger.