Salam sejahtera kepada semua Rakyat Negara Sabah yang dikasihi.

Tahun 2021 merupakan tahun yang penuh dengan cabaran yang terpaksa ditempuhi dengan hati yang kental tanpa mengenal erti putus asa. Satu perjalanan yang dilalui dengan penuh harapan agar hari esok dan hari seterusnya akan menjadi lebih baik. Percayalah bahawa semua ini hanyalah bersifat sementara kerana kita semua akan BERSATU untuk menjadikan kehidupan kita lebih baik dimasa akan datang.

Disini, pihak Republic of Sabah North Borneo (RSNB) ingin memberikan kenyataan rasmi pertama untuk tahun 2021.

Sepanjang tahun ini, pihak RSNB telah memilih untuk membuat pemerhatian tentang senario politik dan keadaan semasa di Tanah Air. Namun, apa yang telah disaksikan adalah suatu keadaan yang tidak seperti yang diharapkan selama ini. Maka dengan itu, pihak RSNB perlu mengaktifkan organisasi ini sepenuhnya agar dapat memberikan perubahan yang positif kepada Tanah Air yang tercinta, Negara Sabah.

Pihak RSNB ingin memberikan kenyataan rasmi berhubung dengan Perjanjian Malaysia dan Bajet 2022 yang telah dibentangkan di dewan parlimen Malaysia pada 29 Oktober 2021.

Pertama, adalah sungguh mengecewakan apabila melihat tindakan pemimpin-pemimpin Tempatan Negara Sabah yang tidak menampkan kesungguhan dalam memperjuangkan Hak dan Nasib Rakyat Negara Sabah dengan serius. Ia seperti mencaturkan setiap kehidupan rakyat demi kelangsungan kepentingan politik masing-masing.

Pemimpin-pemimpin Negara Sabah masih memperjuangkan Perjanjian Malaysia (MA63) yang sememangnya adalah suatu perjanjian yang telah terbatal sejak dari mulanya. Pihak RSNB sungguh kecewa dengan tindakan parti-parti politik tempatan yang masih mengangkat MA63 sebagai sebuah perjanjian yang ‘sah’ sedangkan ahli-ahli politik sebenarnya mengetahui keadaan sebenarnya bahawa perjanjian MA63 itu sememangnya tidak sah dan terbatal kerana status dan kapasiti Kerajaan Negara Sabah (Government of North Borneo) dan Negara Sarawak pada masa itu masih lagi berstatus sebagai ‘Tanah Jajahan’ ketika menandatangani dokumen MA63.

Berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa, ‘Tanah-Tanah Jajahan’ tidak memiliki kapasiti yang sah untuk melakukan sebarang ‘Perjanjian Antarabangsa’. Ini telah disahkan kebenarannya melalui hasil keputusan Makhamah Pengadilan Antarabangsa - International Court of Justice (ICJ) berhubung dengan kes Pulau Chagos (Chagos Island).

Apa yang boleh difahami hasil daripada tindakan politik yang dilakukan oleh parti-parti politik tempatan Negara Sabah adalah ingin membuktikan bahawa sememangnya perjanjian ini telah terbatal kerana sehingga ke hari ini, Malaya tidak pernah menghormati ‘kedaulatan’ perjanjian ini. Jelas terbukti juga bahawa perjanjian ini bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti oleh Malaya kerana mereka memahami benar ketidaksahihan perjanjian ini, yang tidak memiliki kuasa politik keatas mereka.

Dan atas sebab-sebab ini, yang telah disokong oleh kajian yang telah dilakukan oleh pihak RSNB bersama-sama dengan NGO antarabangsa seperti Sabah Sarawak Rights – Australia & New Zealand (SSRANZ), BOPIM dan Sabah Sarawak Union – United Kingdom (SSU-UK), bahawasanya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah TERBATAL dan TIDAK SAH sejak ia ditandatangani pada 9 Julai 1963.

Bukti-bukti ini jelas dapat dilihat melalui dokumen-dokumen kolonial yang diperolehi di Arkib England.

Pendirian RSNB jelas dan kukuh tanpa sebarang keraguan bahawa MA63 adalah tidak Sah dan Terbatal yang tidak perlu diangkat serta diperjuangkan lagi kerana tindakan untuk mengharapkan agar ia dihormati adalah satu tindakan yang hanya akan membolehkan Malaya untuk terus memperbodohkan dan mempermainkan kehidupan dan masa depan rakyat Bangsa Negara Sabah selamanya.

Kedua, Bajet Belanjawan 2022 jelas membuktikan kebenaran kenyataan RSNB kerana peruntukan yang diberikan melalui pembentangan bajet tersebut bukanlah satu peruntukan yang adil kepada pembangunan Negara Sabah.

Untuk membolehkan Negara Sabah memperolehi pembangunan yang pesat, ia memerlukan sekurang-kurangnya RM40 Billion setahun agar kesemua daerah-daerah di Negara Sabah yang sebesar negeri-negeri di Malaya memperolehi dana pembangunan untuk menjana ekonomi setempat yang mampu mengubah sosioekonomi setiap keluarga yang kini masih lagi berada dibawah paras kemiskinan meskipun sudah bersama-sama dengan Malaya hampir 60 tahun.

Tindakan Kerajaan Negara Sabah yang sentiasa ‘berharap’ agar peruntukan besar diberikan adalah suatu perbuatan yang telah merendahkan maruah dan martabat Bangsa kerana ia kelihatan seperti Kerajaan yang ‘mengemis’.

Kerajaan Negara Sabah perlu membuat keputusan yang tegas, berani dan bertanggungjawab demi Masa Depan Generasi Muda Negara Sabah.

Sudah tiba masanya untuk Kerajaan Negara Sabah mewakili suara Rakyat Negara Sabah untuk membawa suara Kemerdekaan Penuh agar mampu memiliki sepenuh kedaulatan dan perundangan untuk mengurus tadbir Negara ini tanpa perlu campurtangan Malaya.

Kegagalan untuk melaksanakannya hanya akan menguatkan rentak dan perjuangan RSNB dan NGO antarabangsa untuk membawa rakyat beralih sokongan kepada kepimpinan baru yang bersedia untuk mengemudi lanskap politik baru Sabah yang melihat Kemerdekaan sebagai Jalan Penyelesaian penuh kepada kesemua masalah yang tidak pernah berakhir selama berada dibawah penguasaan malaya.

Ketiga dan terakhir, pihak RSNB akan memastikan bahawa kepimpinan tempatan yang pro Malaya akan disingkirkan daripada dunia politik Negara Sabah dan kepimpinan tempatan yang Pro Kemerdekaan Negara Sabah akan diangkat sepenuhnya kerana golongan ini akan melakar sejarah Kemerdekaan Negara Sabah dalam tempoh 9 tahun daripada sekarang.

Kejayaan untuk melakukan dan menjayakan perancangan ini semuanya bergantung kepada kesediaan rakyat Negara Sabah untuk bersama-sama berjalan kearah masa depan yang baru dengan minda dan jiwa yang Merdeka tanpa perlu takut kepada sebarang ancaman luar.

Kepada rakyat Negara Sabah yang percaya kepada usaha ini, sila berikan sokongan padu tanpa berbelah bahagi kepada pihak RSNB. Daftarkan diri anda sebagai ahli agar dapat menunaikan tanggungjawab dalam menyebarkan perjuangan RSNB ini kepada semua rakyat Negara Sabah khususnya kepada golongan anak-anak muda yang bakal mewarisi pucuk kepimpinan Kerajaan Negara Sabah.

Kenyataan ini dikeluarkan dengan penuh bertanggungjawa oleh pihak RSNB.

Salam Hormat.

Republic of Sabah North Borneo – RSNB

31 Oktober 2021