Melihat kepada Garis Masa (Timeline) ini, mungkin anda dapat melihat secara umum tentang status sebenar negara Sabah dan negara Sarawak.
Pihak SSKM-SSU(UK) mengambil tahun 1946 sebagai permulaan kepada Garis Masa ini sebagai pendedahan sejarah tentang status kedudukan Negara Sabah dan Negara Sarawak adalah bertujuan untuk membuatkan anda semua faham. Ini juga kerana pada tahun tersebut jugalah negara Malaya wujud sebagai "Malayan Union" yang berstatus "Jajahan Makhota British ataupun Crown Colony of British" yang hanya mampu bertahan sehingga tahun 1948 sahaja sebelum ditukar status kepada "Tanah Naungan British ataupun Protectorate State of British".
Sebelum ini, semasa gambar Garis Masa ini dikongsikan, pihak kami mendapati seperti kurang perhatian diberikan. Apakah ia bermaksud bahawa rakyat negara Sabah dan rakyat negara Sarawak tidak mampu untuk memahami maksud didalam gambar ini? Jikalau itu yang menjadi penyebabnya, maka pihak kami akan berikan penerangan secara ringkas yang mudah difahami oleh anda semua.
TAHUN 1946-1948
JAJAHAN MAKHOTA BRITISH
Selepas Perang Dunia Kedua (WWII) berakhir pada tahun 1945, negara-negara yang berada dibawah pentadbiran British diletakkan dibawah Pentadbiran Ketenteraan British (British Military Administration - BMA) sementara untuk menunggu ketibaan pemerintahaan rasmi daripada British. Ia termasuklah Malaya (11 negeri), Negara Singapura, Negara North Borneo (kini dikenali sebagai negara Sabah) dan Negara Sarawak. Setelah beberapa bulan dibawah pentadbiran BMA, maka pentadbiran tersebut diserahkan kepada Kerajaan British. Penyerahan pentadbiran tersebut telah menyaksikan bahawa Negara North Borneo dan Negara Sarawak yang dahulunya berstatus "Naungan British ataupun Protectorate State of British" dibawah Pentadbiran British Borneo Chartered Company telah ditukarkan menjadi "Tanah Jajahan Makhota British ataupun Crown Colony of British".
11 buah negeri-negeri Tanah Melayu telah dipersekutukan menjadi satu Kesatuan yang dikenali sebagai Kesatuan Malaya ataupun Malayan Union. Seperti yang diperkatakan sebentar tadi, Malayan Union juga telah diberikan status Tanah Jajahan Makhota British ataupun Crown Colony of British. Namun, pada tahun 1948, setelah penentangan berlaku tanpa henti, akhirnya Malayan Union telah dibubarkan dan diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu (Federation of Malaya) dengan status dinaiktarafkan menjadi Tanah Naungan British ataupun Protectorate State of British. Dengan status ini juga, negara Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) telah melalui proses Berkerajaan Sendiri (Self-Government) sehingga pada tahun 1957 sebelum mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Manakala Negara North Borneo dan Negara Sarawak masih kekal dengan status Tanah Jajahan Makhota British yang ditadbir terus daripada Pejabat Tanah Jajahan di London. Semua kata putus adalah daripada British. Rakyat Negara North Borneo dan rakyat Negara Sarawak tidak mempunyai suara, perwakilan dalam kerajaan ataupun hak dalam menentukan masa depan negara mereka. Itulah keburukan yang dimiliki oleh mana-mana kerajaan yang berstatus "Tanah Jajahan Makhota".
Berbeza pula dengan negara Brunei, statusnya kekal sebagai "Tanah Naungan British ataupun Protectorate State of British" yang masih mempunyai kerajaan dan mempunyai hak untuk bersuara.
Negara Burma pada waktu itu juga berada dibawah jajahan British dan belum mencapai kemerdekaannya. Burma mencapai kemerdekaannya pada tahun 1947 sekali bersama dengan Negara Sri Lanka yang pada waktu itu dikenali sebagai (Ceylon).
Indonesia dan Philippine pula pada tahun itu sudah mencapai Kemerdekaannya manakalah Thailand satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak pernah dijajah oleh mana-mana negara Barat kerana kepintaran Raja mereka.
TAHUN 1957-1963
Pada Tahun 1957, Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) telah mencapai kemerdekaannya daripada British. Pada ketika itu, Negara North Borneo, Negara Sarawak dan Negara Singapura masih berada dibawah Jajahan Makhota British. Namun pada tahun 1959, Negara Singapura sudah mencapai status Berkerajaan Sendiri Sepenuhnya (Full Internal Self-Government).
Namun, pada tahun 1963, atas dasar tipu muslihat yang didalangi oleh Malaya yang berusaha mempengaruhi keputusan British telah menyebabkan Negara North Borneo, Negara Sarawak dan Negara Singapura terpedaya untuk "membentuk Malaysia" yang kononnya pada 16 September 1963 itu merupakan tarikh dimana sebuah "Persekutuan Baru" dibentuk. Tetapi, hakikatnya tidak pernah ada sebuah Persekutuan Baru dibentuk pada 16 September 1963 di Asia Tenggara. Apa yang baru hanyalah nama Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) yang ditukar ganti menjadi "Malaysia". Perkara ini dapat disahkan melalui keterangan keahlian Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) di United Nations (UN).
Pada 16 September 1963, kononnya Negara Sabah, Negara Sarawak dan Negara Singapura diberikan kemerdekaan apabila terbentuknya "Malaysia" namun perkara itu sebenarnya tidak berlaku. Ini kerana "Kuasa Kedaulatan, Kuasa Pentadbiran, Kuasa Perundangan dan Kuasa Kehakiman" tidak diserahkan kepada Kerajaan Negara Sabah, Kerajaan Negara Sarawak dan Kerajaan Negara Singapura. Kuasa-kuasa tersebut telah dipindahkan daripada Ibu Pejabat Pentadbiran Tanah Jajahan British ke Ibu Pejabat Pentadbiran Malaya di Kuala Lumpur.
Kehadiran Perwakilan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Negara North Borneo (Sabah) dan Negara Sarawak adalah hanya untuk meninjau secara umum tanpa sebarang penelitian khusus mahupun memungut memorandum. Kedatangan mereka adalah untuk membuat penilaian mengikut Resolusi UN 1541. Kenyataan tersebut dinyatakan oleh U Thant, yang merupakan Setiausaha Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam kesimpulannya hasil laporan daripada tinjauan perwakilan mereka. Beliau dengan tegas menjelaskan bahawa (dalam petikan)...
"...There was no reference to a referendum or plebiscite in the request which was addressed to me. I was asked to ascertain the wishes of the people 'within the context of General Assembly resolution 1541 (xv), principle ix of the annex, by a fresh approach' which in my opinion was necessary 'to ensure complete compliance with the principle of Self-Determination within the requirements embodied in principle ix', taking into consideration certain questions relating to the recent elections. The mission accordingly arranged for consultations with the population through the elected representatives of the people, leaders of political parties and other groups and organisations, and with all person who were willing to express their views, and every effort was made to ascertain the wishes of the special groups (political detainees and absentees) mentioned in the Manila joint statement. The mission gathered and studied all available documents, reports and other material on the governmental institutions, political organisation, electoral process in the two territories, and other matters relevant to its term of reference..."
Report of UN mission to Malaysia: inward telegram OCULAR 1441 Sir P Dean to Lord Home, forwarding the text of U Thant's final conclusions.
Dalam erti kata lain, ketika membentuk "Malaysia", Negara Sabah dan Negara Sarawak sebenarnya masih lagi berstatus "Tanah Jajahan". Walau bagaimanapun, Negara Sabah dan Negara Sarawak sungguh bernasib baik kerana sebelum 16 September 1963, status Negara North Borneo (31 Ogos 1963) dan Negara Sarawak (22 Julai 1963) sudah mencapai status "Berkerajaan Sendiri (Self-Government)" dan pada 16 September 1963, ia telah mencapai Berkerajaan Sendiri Sepenuhnya (Full Internal Self-Government) setelah Jawatan Yang Dipertua Negara dan Governor dipegang oleh rakyat Negara Sabah dan rakyat Negara Sarawak.
Hujah dan kenyataan pihak SSKM-SSU(UK) ini dapat disokong melalui beberapa bukti. Antaranya ialah;
- Akbar Lama yang merekod kenyataan Donald Stephen, Stephen Kalong Ningkan dan Lee Kuan Yew.
- Kenyataan British
- Kenyataan UN
TAHUN 1965
Namun, setelah Malaysia dibentuk pada 16 September 1963, malaya dengan bersungguh-sungguh telah memulakan rentak penindasannya untuk mengganggu pentadbiran rakan-rakannya. Ia dimulai dengan Negara Singapura. Kerajaan Malaya yang telah dikenali sebagai Kerajaan Persekutuan Malaysia selepas 16 September 1963 telah cuba untuk mencampuri urusan pentadbiran Negara Singapura dengan memaksa Kerajaan Negara Singapura untuk tunduk kepada arahan mereka. Keadaan menjadi tegang apabila Kerajaan Negara Singapura dibawah kepimpinan Perdana Menteri mereka, Lee Kuan Yew menentang campur tangan Kerajaan Malaya kerana ia boleh ditafsirkan sebagai perlanggaran kefahaman asas pembentukan Malaysia yang telah dipersetujui sebelum ini. Perkara ini berlarutan sehingga pada 7 Ogos 1965, ia telah membawa kepada perpisahan dan Tunku Abdul Rahman telah mengistiharkan secara rasmi perpisahan tersebut pada 9 Ogos 1965.
Antara punca-punca yang membawa kepada perpisahan Negara Singapura daripada Malaysia adalah seperti berikut:
- Disagreement over Common Market (Percanggahan Pendapat tentang Pasaran Bersama)
- Different Treatment of Races (Perbezaan Layanan Kaum)
- "Malaysian Malaysia Campaign" (Kempen Malaysian Malaysia)
- Different Political Ideology (Perbezaan Ideologi Politik)
- Political Rivalry between PAP and Alliance Party (Persaingan Politik antara PAP dan Parti Perikatan - kini dikenali sebagai Barisan Nasional).
Setelah berpisah, Negara Singapura telah menjadi Republik Negara Singapura dan menjadi ahli anggota ASEAN dan PBB. Negara Singapura telah menjadi setaraf dengan Malaysia hasil jelmaan Malaya. Manakala Negara Sabah dan Negara Sarawak pula masih kekal menjadi jajahan Malaya yang bertopengkan Malaysia. Penghinaan itu dapat dirasai apabila status Negara Sabah dan Negara Sarawak telah menjadi 'negeri' dan setaraf dengan negeri-negeri di Malaya yang sebenarnya hanya berstatus 'Daerah' sahaja di Negara Sabah dan Negara Sarawak.
Negara Singapura juga telah berjaya mengembalikan kedudukannya untuk setaraf dengan negara-negara di ASEAN dan DUNIA manakala kedudukan Negara Sabah dan Negara Sarawak masih sedang menanti untuk kembali ke kedudukan asal. Atas sebab itu gambar Garis Masa memperlihatkan kekosongan pada nombor 3 dan 4 bagi menyampaikan mesej bahawa Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak MESTI berusaha untuk mengembalikan maruah dan darjat bangsa Borneo ini. Kita mesti keluar daripada kepompong penjajahan yang hina, jijik dan kotor ini. Langkah awal yang perlu dilakukan ialah dengan menyingkirkan dakyah dan ideologi politik malaya! Itu adalah tugas Pertama yang perlu dilakukan. Tolak sokongan terhadap parti-parti malaya yang berleluasa di Bumi Borneo ini.
TAHUN 1984
Pada tahun 1984 pula, negara Brunei telah mencapai status Merdeka dan bebas daripada jajahan British secara rasmi. Manakala Negara Sabah dan Negara Sarawak masih lagi berada dibawah regim jajahan malaya sehingga kini.
Masa depan Negara Sabah dan Negara Sarawak kini terletak ditangan Generasi-Generasi Muda. Ini kerana kepimpinan baru bakal mengubah landskap politik Borneo dan Malaya. Sentimen untuk menyokong Parti-parti tempatan kini kian mendapat tempat dan semangat Nasionalisme dan Patriotisme semakin dapat dihayati, difahami dan diserap oleh semua rakyat Negara Sabah dan Negara Sarawak. Kepimpinan Malaya kini dilihat sebagai Parasit yang menumpang hasil kekayaan Borneo untuk terus hidup. Hati Bangsa Borneo kini sudah semakin keras dan kental untuk tidak lagi memberi peluang dan ruang untuk penindasan dan penjajahan ini berterusan kerana jikalau itu berlaku, masa depan generasi bangsa Borneo di Negara Sabah dan Negara Sarawak akan terus malap.
Pada tahun bilakah Negara Sabah dan Negara Sarawak akan mencapai Kemerdekaan sebenar?
Ia terpulang kepada tahap kesedaran dan keberanian rakyat negara Sabah dan rakyat negara Sarawak. Kemerdekaan ini tidak akan dapat dicapai selagi tiada PERPADUAN kerana ia adalah SYARAT ASAS untuk berjaya. Untuk mencapai Perpadauan ini, ia mestilah ditonjolkan melalui Sokongan Politik Tempatan. Ini kerana perjuangan ini sememangnya melibatkan kuasa politik.
Sekarang adakah anda sudah faham? Jikalau ya, sila sebarkan artikel ini bersama sekali dengan gambar Garis Masa agar kefahaman itu jelas difahami oleh semua rakyat Bangsa Negara Sabah dan Bangsa Negara Sarawak.
Post a Comment