Sabah Bakal Menjadi Negara Republik Dalam Tempoh 10 Tahun
TUJUAN
NGO Republik Sabah Borneo Utara (RSNB) berdedikasi untuk mendidik, meningkatkan kesedaran, dan memperjuangkan hak mutlak Negara Sabah untuk Menentukan Nasib Sendiri dan mencapai Kemerdekaan mengikut undang-undang antarabangsa. Kami komited untuk memobilisasi Bangsa Negara Sabah, mempengaruhi pembuat dasar di peringkat tempatan dan antarabangsa, serta menggunakan tekanan diplomatik, perundangan, dan politik bagi memastikan Sabah mencapai kemerdekaan penuh dan menubuhkan Republik Sabah Borneo Utara sebagai sebuah Negara yang Berdaulat.
OBJEKTIF
- Membongkar ketidaksahan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui analisis undang-undang, bukti sejarah, dan kempen kesedaran awam agar rakyat Sabah memahami kebenaran.
- Memobilisasi Bangsa Negara Sabah untuk menuntut hak mereka dalam menentukan masa depan sendiri serta memastikan perjuangan kemerdekaan menjadi sebuah Gerakan Besar-Besaran yang didorong oleh kehendak Bangsa.
- Memberi tekanan kepada pemimpin politik, parti-parti tempatan, dan institusi Sabah untuk menjadikan kemerdekaan sebagai agenda utama, memastikan perjuangan Bangsa Negara Sabah tidak digugat oleh pengaruh luar atau diperalatkan untuk kepentingan politik tertentu.
- Melibatkan organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ASEAN, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), dan badan-badan global lain untuk mengukuhkan kes perundangan dan diplomasi dalam perjuangan kemerdekaan Bangsa Negara Sabah.
- Membangunkan rangka kerja peralihan yang komprehensif bagi memastikan Bangsa Negara Sabah bersedia dalam aspek pentadbiran, kestabilan ekonomi, keselamatan, dan hubungan luar negara selepas mencapai kemerdekaan, membolehkan Bangsa Negara Sabah berdiri sebagai negara yang bebas dan makmur.
Misi
Untuk mempercepatkan Gerakan Kemerdekaan Negara Sabah melalui strategi yang tersusun meliputi mobilisasi rakyat, advokasi perundangan, dan diplomasi antarabangsa. RSNB bertekad untuk memastikan Republik Sabah Borneo Utara mendapat pengiktirafan global, legitimasi politik, dan kestabilan ekonomi, sekali gus membuka laluan kepada peralihan yang lancar dan tidak boleh dipertikaikan dalam menuju kedaulatan menjelang tahun 2034.
Visi
Kami mengimpikan dan percaya bahawa Negara Sabah sebagai sebuah Negara Republik yang kuat, bebas, dan berdikari, dengan keupayaan penuh untuk menguruskan sumber alam, ekonomi, dan keselamatannya sendiri, sambil menegakkan prinsip keadilan, perpaduan, dan integriti. Sebagai sebuah negara yang diiktiraf di Asia Tenggara dan dunia, Sabah akan berperanan sebagai rakan setaraf dalam urusan antarabangsa serta memastikan kesejahteraan dan kedaulatan untuk generasi akan datang.
Dikemaskini pada 23 Februari 2025
Dengan kewujudan NGO ini juga, ia akan membolehkan rakyat Negara Sabah untuk melakukan persiapan mental, fizikal dan psikologi bagi memastikan kejayaan didalam perjuangan ini menjadi realiti dan nyata.
Selain itu, pihak RSNB akan membuka pendaftaran keahlian jenis ‘Keahlian Bersekutu’ kepada semua Sabahan tanpa had umur bagi membolehkan semua Sabahan yang menyokong usaha untuk memerdekakan Negara Sabah dapat Bersama-sama melibatkan diri didalam program-program yang akan dilancarkan tidak lama lagi.
Generasi Muda Negara Sabah sangat-sangat dialu-alukan untuk menyertai perjuangan ini dengan sepenuh hati tanpa sebarang paksaan.
Permohonan keahlian yang diluluskan akan memperolehi nombor keahlian yang akan menjadi rujukan penting untuk setiap kali melibatkan diri didalam program RSNB.
Semua Bangsa Negara Sabah tanpa mengira had umur, etnik, jantina dan darjat adalah amat dialu-alukan untuk mendaftarkan diri secara rasmi untuk menjadi sebahagian daripada sejarah yang akan memperjuangkan kemerdekaan untuk membentuk Negara Republik Sabah Borneo Utara.
Perjuangan ini akan dilakukan dalam tempoh 10 tahun (2034).
Tempoh 10 tahun yang diberikan ini adalah bertujuan untuk memastikan bahawa Bangsa Negara Sabah telah benar-benar memahami keperluan dan tanggungjawab untuk memerdekakan Negara Sabah daripada penjajahan Malaya yang kini dikenali sebagai Malaysia.
- Tempoh ini merupakan tempoh yang kritikal dan sesuai, untuk mendidik dan memberikan kefahaman kepada Sabahan tentang justifikasi keperluan untuk membentuk Negara Republik.
- RSNB ingin memastikan bahawa Sabahan mampu menyelami dan menghayati aspirasi perjuangan untuk menyelamatkan masa depan Generasi Bangsa Negara Sabah.
- Pembentukan Negara Republik bukan ditubuhkan atas dasar ugutan, ancaman ataupun penipuan sebaliknya adalah untuk membuktikan bahawa Sabahan sememangnya telah mencapai proses kematangan untuk memerdekakan Negaranya daripada penjajahan Malaya yang kini dikenali sebagai Malaysia.
- Untuk menyedarkan bahawa pembentukan Malaysia telah dilakukan secara terburu-buru iaitu dalam 3 tahun (1960-1963) tanpa sebarang referendum dan menggunapakai perjanjian yang tidak sah serta terbatal kerana telah melanggar syarat khusus yang termaktub didalam Resolusi UN 1541/1514 manakala proses pembentukan Negara Republik akan mengambil masa 10 tahun untuk menyediakan Bangsa Negara Sabah kepada transisi Kemerdekaan yang sebenar.